Pelakon dan pengacara Zizan Razak menafikan kedai serbaneka miliknya, Zizan Mart gulung tikar.
Pemilik nama penuh Mohd Razizan Razak, 32, menjelaskan yang Zizan Mart hanya ditutup buat sementara waktu.
"Jika ada yang cakap Zizan Mart terus tutup, perkara itu tidak benar
sama sekali. Penutupan kedai serbaneka Zizan Mart hanyalah bersifat
sementara sahaja," kata Zizan kepada Astro Gempak.
Zizan Mart terletak di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan. Kedai
serbaneka itu mula beroperasi pada 18 Ogos 2015 dan dirasmikan oleh
Zizan bersama Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Abdul Fattah Mahmood.
Dalam pada itu, pelakon filem Polis Evo ini enggan mendedahkan punca penutupan sementara kedai serbaneka Zizan Mart.
"Saya memohon maaf kerana saya tidak boleh mendedahkan faktor Zizan
Mart ditutup buat sementara waktu atas sebab-sebab yang tidak boleh
dielakkan.
"Saya baru sahaja pulang dari Thailand untuk menjalani penggambaran
filem Bikers Kental 2 dan saya akan berjumpa pihak pengurusan Zizan Mart
untuk menyelesaikan isu yang timbul dalam kadar segera," katanya yang
ditemui di sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian 29 (ABPBH
29) semalam.
Zizan bakal mengendalikan ABPBH 29 selaku peneraju acara. Selain
Zizan, pelakon filem Abang Long Fadil itu akan bergandingan bersama AG,
Haiza dan Mira Filzah.
Majlis anugerah tersebut bakal berlangsung pada Ahad, 8 Mei 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
No comments:
Post a Comment