Pecah patung dewa: Pengurusan kuil nafi tolak bantuan
Ipoh – Pengurusan
sebuah kuil yang beberapa patung di rumah ibadat itu dipecahkan seorang
lelaki pada Ahad lepas menafikan dakwaan dalam media sosial bahawa ia
menolak bantuan kerajaan negeri untuk membaik pulih kerosakan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sree Muneeswarar Amman A. Silvanathan berkata jawatankuasa tidak menolak bantuan RM30,000 itu.
Bantuan itu ditawarkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,
Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung
Baharu Perak Datuk Dr Mah Hang Soon yang melawat kuil itu pada Isnin
lepas.
Pada sidang media semalam, Silvanathan berkata jawatankuasa menerima bantuan itu, tetapi bersyarat.
Beliau meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan telus berhubung kejadian itu.
Seorang lelaki berumur 29 tahun dipercayai mengalami masalah mental
telah memecahkan beberapa patung di kuil di Jalan Hospital itu pada
kira-kira 5 petang dan kemudian melarikan diri ke Jalan Ghazali Jawi
dengan memandu kereta secara melawan arus sebelum terbabas dan melanggar
perhentian bas.
Polis menahan lelaki itu dan menghantarnya ke Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan perubatan. – Bernama
No comments:
Post a Comment